LABUAN: Kerajaan Persekutuan digesa mengembalikan sepenuhnya kemudahan bebas cukai di Labuan bagi merancakkan sektor peruncitan dan pelancongan, sekali gus menangani kelembapan ekonomi wilayah berkenaan.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, status bebas cukai Labuan kini seolah-olah hanya di atas kertas apabila keistimewaan yang menjadi tarikan utama pengunjung semakin terhakis.
“Apa maknanya bebas cukai kalau barangan yang menjadi tarikan utama Labuan sudah disekat.
“Saya melihat minuman keras, coklat dan keropok sahaja yang dikecualikan cukai, itupun harga hampir sama di tanah besar Sabah.
“Sementara barangan runcit lain jauh lebih mahal berbanding di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata, pemimpin Persekutuan seharusnya memberikan keutamaan kepada penambahbaikan dasar percukaian Labuan berbanding terus membangkitkan cadangan pembinaan jambatan menghubungkan pulau itu dengan tanah besar Sabah.
Katanya, cadangan jambatan berkenaan sudah merentasi satu generasi dan sering dibangkitkan menjelang pilihan raya umum, manakala kekangan belanjawan negara menyukarkan pelaksanaannya dalam masa terdekat.
Masiung turut menggesa Menteri Wilayah Persekutuan dan pegawai kementerian berkenaan turun padang bagi mengkaji semula dasar percukaian serta memberikan layanan sewajarnya kepada Labuan seperti Langkawi.
Menurutnya, meskipun Labuan dikenali sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa (IOFC), pulau itu kini umpama ‘kota tua’ yang ditinggalkan akibat kelembapan ekonomi dan kos pengangkutan barangan yang tinggi.
Beliau berkata, Labuan akan terus ketinggalan dari segi ekonomi sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak mengembalikan sepenuhnya kemudahan bebas cukai di pulau berkenaan.
Masiung berada di Labuan dalam rangka lawatan kerja dua hari bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Tongod di Wisma Perbandaran Labuan.

