KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SESB) digesa memperkukuh pelan tindak balas kecemasan bagi mengurangkan tempoh gangguan bekalan elektrik dan kesannya terhadap penduduk serta peniaga di Pantai Timur Sabah.
Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pengalaman gangguan bekalan elektrik berskala besar sebelum ini seharusnya diterjemahkan kepada pelan tindakan yang boleh digerakkan serta-merta apabila bencana alam menjejaskan talian penghantaran utama.
“Gangguan besar seperti ini pernah berlaku di Pantai Timur. Pengalaman lalu perlu diterjemahkan kepada pelan yang boleh digerakkan serta-merta apabila bencana alam menjejaskan talian utama.
“SESB perlu menetapkan lebih awal cara menggerakkan pasukan dan peralatan, keutamaan pemulihan mengikut kawasan serta langkah menyediakan bekalan sementara untuk perkhidmatan penting,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata demikian susulan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan Tawau dan beberapa daerah lain di Pantai Timur Sabah akibat insiden menara penghantaran tumbang di Ranau.
Nizam turut meminta SESB memberikan perkembangan berkala mengenai kawasan yang sudah menerima bekalan semula, kawasan yang masih terjejas serta anggaran masa pemulihan bagi membolehkan pengguna merancang urusan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan projek Sabah Southern Madani Link merupakan penyelesaian jangka panjang bagi menangani kebergantungan Pantai Timur terhadap satu laluan penghantaran utama.
Katanya, fasa awal projek dari Mengalong ke Upper Padas sedang dilaksanakan dan apabila siap sepenuhnya, projek berkenaan akan menyediakan laluan penghantaran kedua antara Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah.
Beliau turut menghargai usaha Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam membawa keperluan Sabah ke peringkat Persekutuan serta komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyokong pembiayaan fasa awal projek berkenaan.

