Site icon TUHAU BAMBANGAN

Curi ‘parcel’ di Kota Marudu, lelaki diberkas polis kurang sembilan jam

KOTA MARUDU: Seorang lelaki disyaki terbabit dalam kes kecurian ‘parcel’ bungkusan kiriman di Taman Perumahan T&G di sini diberkas polis dalam tempoh kurang sembilan jam selepas laporan berhubung kejadian diterima.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.45 malam pada 25 November lalu.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kejadian berkenaan turut didapati tular di media sosial.

“Bertindak atas laporan, pada 26 November 2026 jam lebih kurang 7.15 pagi, bertempat di Taman Perumahan T&G, Kota Marudu, PDRM IPD Kota Marudu telah berjaya laksana tangkapan terhadap seorang suspek lelaki.

“Turut dirampas bungkusan kiriman yang dicuri oleh suspek,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman bagi membantu siasatan lanjut.

Simiun menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis.

Exit mobile version