Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kekalkan nilai ekonomi di Sabah, Hajiji gesa syarikat besar perkasa PKS tempatan

KOTA KINABALU: Syarikat-syarikat besar di Sabah digesa membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan bagi memastikan lebih banyak nilai ekonomi dapat dikekalkan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, hubungan perniagaan antara syarikat besar dengan perusahaan tempatan perlu diperkukuh bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih meluas.

“Ketika syarikat-syarikat besar mengembangkan operasi mereka, saya menggalakkan mereka supaya membuka lebih banyak peluang kepada pembekal tempatan, penyedia perkhidmatan dan usahawan baharu.

“Dengan memperkukuh hubungan perniagaan ini, kita dapat mengekalkan lebih banyak nilai ekonomi di Sabah serta membolehkan lebih banyak perusahaan tempatan mengambil bahagian dalam pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Sin Chew Sabah Business Builder di Grand Palace Ballroom, Restoran Port View Seafood, Tanjung Lipat, di sini malam ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji berkata, kekayaan sumber asli, tanah pertanian yang subur, biodiversiti serta kedudukan strategik Sabah menawarkan peluang besar kepada sektor perniagaan untuk menjana nilai ekonomi yang berkekalan.

“Tugas kita adalah untuk menterjemahkan segala kekuatan ini kepada kemakmuran yang lebih meluas dan inklusif.

“Kita mesti menggalakkan lebih banyak aktiviti nilai tambah, memperkukuh perusahaan tempatan serta memastikan pertumbuhan ekonomi mewujudkan peluang yang bermakna bukan sahaja di kawasan bandar, tetapi juga di pekan-pekan kecil dan komuniti luar bandar,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kekal komited mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif, berdaya saing dan mesra pelabur bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi Sabah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha itu memerlukan penyertaan dan kerjasama daripada usahawan, pelabur, persatuan industri serta pemimpin masyarakat.

Hajiji turut menggesa majikan memperkukuh kerjasama dengan institusi pendidikan dan latihan menerusi program latihan amali, perantisan, latihan teknikal serta pendedahan industri bagi membantu lebih ramai anak Sabah membina kerjaya di negeri sendiri.

“Kemajuan akhirnya tidak seharusnya diukur berdasarkan saiz ekonomi semata-mata, tetapi juga melalui peluang yang tersedia kepada rakyat serta peningkatan kualiti hidup mereka,” katanya.

Exit mobile version