KOTA KINABALU: Proses penguatkuasaan di Kampung Pondo, Pulau Gaya perlu disusuli dengan saringan teliti bagi memastikan bantuan penempatan semula hanya disalurkan kepada warganegara tempatan yang layak.
Mantan Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Faisal Mohidin berkata, semua pihak perlu memberikan ruang dan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan.
“Proses penguatkuasaan ini juga wajar disusuli dengan saringan yang teliti bagi memastikan hanya warganegara tempatan yang layak dibantu melalui saluran penempatan semula yang sah, manakala isu penempatan haram ditangani secara tuntas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Faisal turut menyatakan sokongan terhadap ketegasan kerajaan negeri menerusi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam melaksanakan penguatkuasaan dan penstrukturan semula kawasan penempatan berkenaan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan perancangan bandar yang teratur, bersih dan selamat demi kesejahteraan jangka panjang rakyat Sabah.
Pada masa sama, beliau memuji keprihatinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mempertimbangkan penangguhan sementara tindakan perobohan bagi menjaga kebajikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Walaupun status kawasan tersebut kekal sebagai penempatan setinggan yang tidak dibenarkan dan tindakan undang-undang tetap akan diteruskan, keprihatinan beliau memastikan masa depan pendidikan anak-anak tempatan tidak terjejas membuktikan kepimpinan yang matang serta berperikemanusiaan,” katanya.
Faisal turut menggesa agar isu berkenaan tidak dipolitikkan sehingga membantutkan usaha pembangunan negeri.
“Kemajuan negeri menuntut keberanian untuk melakukan perubahan demi masa depan generasi akan datang,” katanya.

