Site icon TUHAU BAMBANGAN

Keperluan rakyat tentukan projek, bukan apa yang pelabur mahu jual – Masidi

KOTA KINABALU: Keutamaan projek pembangunan di Sabah mesti ditentukan berdasarkan keperluan sebenar rakyat dan kemampuan kewangan negeri, bukannya semata-mata mengikut tawaran pelabur.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tidak semua cadangan pelaburan yang kelihatan menarik mampu memenuhi keperluan sebenar pembangunan negeri.

“Keutamaan pembangunan negeri mestilah ditentukan oleh keperluan Sabah, bukannya oleh apa yang ingin dijual atau ditawarkan kepada kerajaan. Tidak semua cadangan pelaburan yang menarik di atas kertas merupakan projek yang benar-benar diperlukan oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar PPP & PFI: From Policy to Strategy 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, di sini, hari ini.

Masidi berkata, pendekatan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) boleh diterokai bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri, khususnya dalam penyediaan bekalan air, elektrik, jaringan perhubungan dan kemudahan asas.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pembiayaan sektor swasta bukan bermakna kerajaan memperoleh sesuatu secara percuma kerana komitmen kewangan masih perlu ditanggung dalam jangka panjang.

“Kerajaan perlu memastikan setiap komitmen kewangan yang dibuat hari ini tidak menjadi beban kepada generasi akan datang. Pembangunan bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi memastikan kemampuan negeri untuk menanggung kosnya secara berterusan,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri telah meluluskan Garis Panduan Pelaksanaan Kerjasama Awam-Swasta Kerajaan Sabah Tahun 2026 bagi memastikan setiap cadangan projek dinilai berdasarkan keperluan pembangunan, daya maju ekonomi dan manfaat kepada rakyat.

Masidi turut menegaskan bahawa pembahagian risiko antara kerajaan dan sektor swasta perlu adil serta munasabah supaya kerajaan tidak menanggung keseluruhan risiko dan kerugian sekiranya projek berdepan masalah.

Dalam pada itu, beliau mahu pelaksanaan projek PPP membuka ruang penyertaan lebih bermakna kepada golongan profesional, perunding, syarikat tempatan dan tenaga kerja mahir Sabah, bukan sekadar terhad kepada kerja kecil atau subkontrak.

“Ukuran sebenar kejayaan sesuatu projek bukanlah berdasarkan jumlah pelaburan atau nilai kontrak semata-mata, tetapi sejauh mana projek tersebut dapat dilaksanakan, memberikan manfaat kepada rakyat dan meningkatkan kualiti hidup mereka serta meninggalkan nilai yang berkekalan kepada negeri Sabah,” katanya.

Exit mobile version