KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mempersoalkan pengurangan peruntukan pembangunan pendidikan ketika Sabah masih berdepan masalah 591 sekolah yang mempunyai bangunan daif pada Skala 6 dan Skala 7.
Beliau berkata, sehingga 30 Jun 2025, sebanyak 259 sekolah di Sabah mempunyai bangunan Skala 7, manakala 332 sekolah lagi berada pada Skala 6, sekali gus menuntut tindakan segera kerajaan.
“Sehubungan itu, saya ingin meminta penjelasan terhadap pengurangan peruntukan Program Pembangunan Pendidikan Sabah dan Sarawak sebanyak RM21.95 juta serta peruntukan Perolehan Tanah Pendidikan sebanyak RM55.53 juta.
“Ini kerana keperluan pembangunan infrastruktur pendidikan di Sabah masih mendesak,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat, hari ini.
Madius turut meminta KPM menjelaskan tarikh tender pembinaan semula SMK Tenghilan dan SMK Tamparuli serta sasaran penyiapan kedua-dua projek berkenaan.
“Saya juga ingin membangkitkan keperluan pembinaan jejantas di hadapan SK Pekan Tamparuli bagi meningkatkan keselamatan murid dan pengguna jalan raya, memandangkan kemalangan maut pernah berlaku di lokasi tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan pembangunan infrastruktur pendidikan di Sabah memerlukan perhatian serius dan tindakan konkrit bagi memastikan murid menikmati persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.

