Site icon TUHAU BAMBANGAN

Polis selesai kes bunuh di Putatan kurang enam jam, dua suspek ditahan

PENAMPANG: Polis berjaya menyelesaikan kes bunuh membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun di Putatan dalam tempoh kurang enam jam susulan penahanan dua suspek pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kedua-dua suspek merupakan lelaki warga tempatan berusia 30 dan 45 tahun yang ditahan kira-kira jam 6.30 pagi di Kampung Dumpil, Putatan.

Katanya, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan bantuan anggota Balai Polis Putatan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah premis perniagaan di Putatan pada 24 November 2026 sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada awal pagi hari berikutnya,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Menurut Sammy, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 26 November hingga 2 Disember bagi membantu siasatan.

“Motif pembunuhan dan punca kematian mangsa masih dalam siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan sekiranya tidak dihukum mati.

Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi IPD Penampang atau tampil ke balai polis berhampiran.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya mengelakkan spekulasi dan penyebaran maklumat yang belum disahkan bagi memastikan kelancaran siasatan.

Exit mobile version