Site icon TUHAU BAMBANGAN

Jangan jadikan pelajar alat tekanan dalam demonstrasi – PIBKS

KOTA KINABALU: Murid sekolah rendah dan menengah tidak seharusnya dijadikan alat tekanan terhadap mana-mana pihak menerusi penyertaan dalam demonstrasi atau sebarang bentuk bantahan.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, kepentingan, keselamatan dan masa depan pelajar tidak seharusnya dikorbankan akibat pertikaian dalam kalangan orang dewasa.

“Saya memandang serius dan membantah sebarang tindakan yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah dalam apa jua bentuk bantahan atau demonstrasi yang berpotensi menjejaskan kebajikan, keselamatan, kesejahteraan emosi serta pendidikan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Pamer Keunggulan peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.

Mohammad Arif berkata, meskipun pihaknya memahami keresahan dan kesulitan yang dihadapi pihak terbabit, kebajikan serta pendidikan pelajar perlu sentiasa diutamakan.

Katanya, perkara itu perlu diberikan perhatian serius, khususnya ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 sedang berlangsung.

Beliau menegaskan bahawa pelajar seharusnya diberikan ruang untuk menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan perkembangan diri tanpa dibebani pertikaian orang dewasa.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya bertindak secara bertanggungjawab dengan mengutamakan kebajikan, keselamatan dan masa depan anak-anak.

Exit mobile version