KOTA KINABALU: Sebuah hospital yang berfungsi sebagai Pusat Rawatan Trauma dan Rehabilitasi serta pusat latihan terunggul perkhidmatan pra-hospital perlu diwujudkan di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tindakan juga perlu diambil bagi mengatasi kekurangan sumber manusia dan kelengkapan ambulans di seluruh negeri, sama ada di bandar mahupun kawasan pedalaman, bagi memastikan perkhidmatan pra-hospital memberikan rawatan berkualiti.
Menurutnya, statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menunjukkan peningkatan panggilan kecemasan menerusi talian 999 daripada 14,256 panggilan pada 2024 kepada 15,434 panggilan pada 2025, manakala sebanyak 10,154 panggilan direkodkan setakat September tahun ini.
“Apabila menyebut rawatan kecemasan, pengoperasian perkhidmatan pra-hospital atau ambulans memainkan peranan penting sebagai sebahagian rangkaian penjagaan kesihatan secara berterusan kepada masyarakat dengan masa respon yang singkat dan pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Kursus First Responder Life Support (CPR) and Fitness 2026 di Menara Kinabalu, hari ini.
Hajiji berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian di negara ini, termasuk Sabah, diikuti penyakit serebrovaskular (strok) dan kemalangan jalan raya.
Katanya, peranan ahli pertolongan cemas dalam kalangan masyarakat amat penting sementara menunggu ketibaan ambulans dan pasukan perkhidmatan pra-hospital.
“Tindakan awal yang pantas, tepat dan berkesan bukan sahaja dapat mengurangkan risiko komplikasi, malah berupaya menyelamatkan nyawa mangsa.
“Sehubungan itu, usaha-usaha melatih lebih ramai Ahli Pertolongan Cemas dengan menyediakan pasukan yang berkemahiran dan siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan kecemasan sangat penting dalam suasana kecemasan bagi mengurangkan kadar kematian,” katanya.
Menurut Hajiji, berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020, populasi Sabah seramai kira-kira 3.4 juta orang tersebar di kawasan geografi yang luas dengan kepadatan purata 46 orang bagi setiap kilometer persegi.
Keadaan itu menyebabkan kelangsungan hidup pada minit-minit awal kecemasan amat bergantung kepada orang awam dan responden pertama komuniti yang terlatih untuk memulakan CPR.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan penganjuran kursus julung kali yang melibatkan pengiring peribadi Menteri, Pembantu Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai Jabatan Ketua Menteri sebagai langkah bertepatan.
“Usaha ini adalah satu inisiatif yang baik dan ianya wajar diteruskan secara tetap dan melibatkan semua pengiring-pengiring peribadi Yang Berhormat yang menguruskan perkhidmatan rakyat di lapangan,” katanya.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai Datuk Dr G. Mohan A. Gopal Naidoo dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri Sabah.
Dalam pada itu, beliau mahu setiap ADUN menggunakan sebahagian peruntukan masing-masing untuk melatih dan menyediakan pasukan berkemahiran serta bersiap siaga menghadapi sebarang kecemasan di kawasan masing-masing.
Katanya, usaha itu selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat.
“Lebih ramai Ahli Pertolongan Cemas dalam kalangan orang awam perlu dilatih untuk mencapai sasaran, ‘Satu orang Ahli Pertolongan Cemas setiap Keluarga’,” katanya.

