KUALA LUMPUR: Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Tawau dan Labuan dipercayai digunakan sebagai laluan penyeludupan tiga tan syabu bernilai RM156 juta sejak Ogos 2024.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kegiatan itu membabitkan 21 transaksi, masing-masing tujuh di Tawau dan 14 di Labuan.
“Sebanyak tujuh transaksi dengan syabu seberat 1.8 tan, membabitkan nilai RM93 juta, diseludup keluar dari Tawau.
“Di Labuan pula, sebanyak 14 transaksi sudah berlaku sejak Ogos 2024, membabitkan syabu seberat 1.2 tan dengan nilai RM63 juta,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Saifuddin berkata, siasatan awal mengenal pasti pembabitan individu yang mempunyai akses dan hubungan dengan anggota serta operasi penerbangan tentera, dipercayai membuka ruang kepada sindiket menggunakan kemudahan TUDM bagi kegiatan penyeludupan dadah.
Setakat ini, seramai 13 individu membabitkan tujuh anggota TUDM dan enam orang awam ditahan, manakala identiti ketua sindiket yang masih bebas sudah dikenal pasti.
Beliau turut memberi jaminan bahawa tiada individu terbabit akan terlepas daripada tindakan undang-undang tanpa mengira jawatan atau kedudukan.
“Sebahagian ahli sindiket sudah ditangkap, dituduh dan dipenjara, manakala sebahagian lagi masih bebas dan kita akan memperluas skop siasatan,” katanya.
Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selain kemungkinan penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membongkar rangkaian jenayah terancang berkenaan.
Saifuddin turut menghargai kecekapan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membanteras kegiatan sindiket itu.

