Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pertukaran anggota polis bermasalah ke Sabah tidak adil – Shahelemy

KOTA KINABALU: Menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai penempatan bagi anggota polis yang terlibat dengan masalah disiplin dianggap tidak wajar.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, tindakan menukarkan penjawat awam yang mempunyai masalah disiplin ke Sabah adalah tidak adil.

“Secara peribadi saya berpendapat adalah tidak adil sekiranya penjawat-penjawat awam atau pun kakitangan pihak berkuasa yang dlm kes ini polis untuk dipindahkan ke Sabah.

“Sekiranya mereka mempunyai masalah disiplin, pertukaran mereka ke Sabah dan Sarawak itu sepatutnya bukan atas sebab tindakan disiplin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan program Karnival Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Wisma Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu.

Beliau kembali bertegas untuk mahukan pegawai agar berkhidmat dengan baik di Sabah dan bukan bermasalah disiplin diluar, kemudian didenda dengan ditugaskan ke Sabah dan Sarawak.

“Kita mahu penjawat-penjawat awam atau pun pegawai-pegawai datang daripada luar Sabah, datang berkhidmat di Sabah untuk berkhidmat dengan sebaiknya.

“Kita tidak mau pegawai-pegawai daripada luar Sabah, dihantar ke negeri Sabah atas dasar dibuang, didenda atau pun dimasukkan ke dalam peti ais,” tegasnya.

Terdahulu, dilaporkan sembilan anggota polis telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak selepas dipercayai terlibat dengan kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah.

Exit mobile version