RANAU: Laluan utama Ranau-Telupid tidak dapat dilalui dari kedua-dua arah selepas kabel elektrik voltan tinggi yang menyalurkan bekalan elektrik ke Pantai Timur Sabah terjatuh di jalan antara Kampung Sagindai dan Kampung Matupang, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ranau, Supt Mursalin Mahmud berkata, Bilik Gerakan IPD Ranau menerima aduan daripada orang awam sebelum mengarahkan anggota polis bergerak ke lokasi pada jam 7 pagi.
Pemeriksaan pada jam 7.55 pagi mendapati kabel elektrik berkenaan terjatuh dan menghalang laluan utama tersebut.
Pegawai Sabah Electricity turut berada di lokasi bagi memantau keadaan, manakala tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Mursalin menasihati pengguna jalan raya yang ingin melalui laluan berkenaan agar bersabar dan mematuhi arahan pegawai yang bertugas di lapangan bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan berjalan lancar.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang kejadian di persekitaran bagi memudahkan pihak berkuasa memberikan bantuan awal.

