KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) sedang giat melaksanakan usaha memulihkan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah susulan insiden pada sistem penghantaran elektrik pada jam 6.04 pagi tadi.
SE dalam kenyataan hari ini memaklumkan Bilik Gerakan sudah diaktifkan bagi menyelaras usaha pemulihan bekalan elektrik secara berperingkat di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.
“Keutamaan ketika ini adalah untuk memulihkan bekalan elektrik secepat mungkin tanpa menjejaskan keselamatan dan kestabilan sistem,” menurut kenyataan itu.
SE turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna serta memahami kesan gangguan berkenaan terhadap kehidupan seharian, urusan perniagaan dan aktiviti masyarakat.
“Punca sebenar kejadian sedang dikenal pasti dan perkembangan terkini mengenai status pemulihan bekalan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi Sabah Electricity,” katanya.
SE turut menghargai kesabaran dan kerjasama pengguna sepanjang usaha pemulihan bekalan elektrik dilaksanakan.

