Site icon TUHAU BAMBANGAN

Dua kali rosakkan kereta sama, lelaki ditahan polis di Tawau

TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditahan polis kurang sejam selepas dipercayai melakukan khianat dengan menendang cermin sisi sebuah kereta sehingga pecah di kawasan Perumahan Rakyat, Taman Bukit Tawau, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan kira-kira jam 9.40 pagi dan dipercayai terbabit dalam dua kejadian khianat terhadap kenderaan sama.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada 10 November lalu, manakala kejadian kedua berlaku kira-kira jam 8.45 pagi tadi apabila isteri mangsa melihat suspek menendang cermin sisi kanan kereta berkenaan sehingga pecah.

“Mangsa turut menegur lelaki berkenaan, namun teguran itu tidak diendahkan sebelum individu terbabit beredar dari lokasi kejadian,” katanya.

Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kedua-dua kejadian sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Rosdi turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam perbuatan merosakkan harta benda awam atau persendirian.

Exit mobile version