KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mempertimbangkan pemberian biasiswa kepada setiap anak Sabah yang layak mengikuti pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menangani kekurangan doktor di negeri ini.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata langkah itu merupakan penyelesaian jangka panjang yang diambil kerajaan negeri susulan cabaran mendapatkan doktor dari Semenanjung untuk berkhidmat di Sabah.
“Bagi saya, satu-satunya penyelesaian jangka panjang adalah memastikan lebih ramai doktor dalam kalangan anak Sabah.
“Untuk itu, kita akan memastikan setiap anak Sabah yang layak mengikuti pengajian perubatan di UMS layak dipertimbangkan untuk menerima biasiswa kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Sabah Tahun 2026 kepada sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam, pada Selasa.
Masidi turut memaklumkan sektor pendidikan bakal menerima peruntukan besar menerusi Belanjawan Sabah 2027, meskipun pendidikan bukan secara langsung di bawah pentadbiran kerajaan negeri.
Mengulas mengenai kekurangan doktor, beliau berkata keadaan itu turut dipengaruhi oleh tindakan doktor yang memilih meninggalkan perkhidmatan untuk menyertai sektor swasta atau membuka klinik sendiri.

