KOTA KINABALU: Seni dan teknologi perlu dibangunkan secara seimbang bagi memastikan kemajuan teknologi tidak mengetepikan nilai kemanusiaan, keaslian karya serta identiti budaya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkembangan kecerdasan buatan (AI), media digital dan teknologi audiovisual membuka peluang luas kepada penggiat seni dan industri kreatif.
Menurutnya, kekuatan seni terletak pada keupayaannya menyentuh pemikiran dan perasaan manusia, manakala teknologi menyediakan kaedah baharu untuk memperluas pengalaman serta penyampaian karya.
“Kita memerlukan generasi pengkarya yang bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, tetapi turut mempunyai asas ilmu, daya pemikiran kritis, kreativiti dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial serta budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Persidangan Antarabangsa Seni dan Teknologi Kreatif (PASTIK 2026) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.
Hajiji berkata, kekayaan khazanah seni dan budaya Sabah perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang melalui pendidikan, penyelidikan, pengkaryaan dan inovasi.
Katanya, industri kreatif turut berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi baharu, justeru kerajaan negeri komited membangunkan modal insan yang celik teknologi, kreatif dan inovatif menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau turut berharap semua pihak berganding bahu membangunkan ekosistem industri kreatif yang lebih dinamik, mampan dan berdaya saing, sekali gus menggerakkan potensi Sabah sebagai pusat perkembangan seni, budaya dan kreativiti di rantau ini.

