Site icon TUHAU BAMBANGAN

AI mesti selesaikan masalah sebenar, bukan sekadar teknologi baharu – Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) di Sabah mesti berorientasikan penyelesaian masalah sebenar, khususnya dalam meningkatkan mutu perkhidmatan awam, produktiviti serta kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, meskipun AI menawarkan potensi besar, penerapannya perlu dilaksanakan dengan matlamat yang jelas, berhemah dan penuh tanggungjawab.

“Nilai AI bukan sekadar terletak pada penggunaan teknologi baharu, tetapi keupayaannya menyelesaikan masalah sebenar, sama ada melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, peningkatan produktiviti, perancangan yang lebih berasaskan maklumat atau kesiapsiagaan menghadapi bencana yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Sidang Kemuncak Digital Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini, yang disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji berkata, transformasi digital Sabah mesti menyokong agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkukuh ekonomi, membangunkan modal insan serta meningkatkan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.

“Pendigitalan tidak seharusnya dilaksanakan secara berasingan daripada pembangunan. Sebaliknya, ia perlu membantu kita melaksanakan pembangunan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan transformasi digital Sabah akan dinilai berdasarkan sejauh mana manfaatnya dapat dinikmati seluruh rakyat tanpa memburukkan lagi jurang ketidaksamaan sedia ada.

Sehubungan itu, Hajiji mahu sidang kemuncak berkenaan menjadi platform kerjasama praktikal bagi mengenal pasti masalah, membina jaringan kerjasama serta melaksanakan projek yang boleh dinilai dan diperluas sekiranya berjaya.

Beliau turut menekankan keperluan melengkapkan golongan muda dengan kemahiran untuk menjadi pencipta, tenaga profesional dan usahawan, bukan sekadar pengguna teknologi.

Exit mobile version