Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah kekalkan had umur belia 40 tahun – Nizam

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah kekal dengan pendirian menetapkan had umur belia sehingga 40 tahun dengan mengambil kira realiti geografi dan sosioekonomi negeri ini, khususnya keperluan golongan belia di luar bandar dan pedalaman.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keputusan Kabinet Negeri itu mengambil kira akses golongan belia kepada latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan program pembangunan.

“Golongan berusia 31 hingga 40 tahun masih memerlukan akses kepada peluang ini dan mempunyai pengalaman yang boleh disumbangkan kepada komuniti masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Nizam, pendirian itu akan diterjemahkan melalui cadangan Enakmen Pembangunan Belia Sabah yang sedang dirangka untuk dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelak.

Enakmen berkenaan turut bertujuan memperkukuh pengurusan pertubuhan belia serta menyediakan asas pembangunan belia yang lebih tersusun di negeri ini.

Beliau turut menghargai pujian Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid terhadap keputusan Kerajaan Negeri Sabah mengekalkan had umur berkenaan.

Dalam pada itu, Nizam berkata, kementeriannya akan membuat susulan dengan pihak berkaitan di peringkat Persekutuan berhubung cadangan kadar tambang khas penerbangan untuk belia bagi perjalanan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.

“Kementerian saya akan membuat susulan dengan pihak berkaitan di peringkat Persekutuan untuk meneliti langkah yang praktikal bagi mengurangkan beban tambang, termasuk cadangan kadar khas untuk belia,” katanya.

Cadangan berkenaan merupakan antara lima usul yang dibangkitkan pada persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) peringkat Sabah.

Nizam berkata demikian selepas menghadiri MPBN Sidang IV, Penggal Ke-35, Sesi 2025–2026 di Putrajaya, semalam, yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Persidangan itu turut membincangkan isu keselamatan digital, kemudahan penjagaan anak bagi keluarga muda serta cadangan hab pembangunan belia di setiap daerah.

Nizam menegaskan bahawa aspek akses, jarak perjalanan dan keperluan masyarakat setempat perlu diberikan keutamaan dalam pembangunan hab berkenaan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati golongan belia di bandar, luar bandar dan pedalaman.

Exit mobile version