KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan terus memperkukuh pendekatan pengurusan bandar raya yang lebih moden, cekap, bersepadu dan berasaskan teknologi menjelang 2027.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, berkata setiap perancangan dan pelaksanaan program perlu memberikan impak yang jelas terhadap peningkatan kualiti perkhidmatan serta kesejahteraan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggariskan lima keutamaan strategik yang perlu diberikan perhatian oleh DBKK, termasuk memperkukuh pendigitalan dan sistem pemantauan bandar raya serta pengurusan sisa pepejal dan kebersihan persekitaran.
Keutamaan lain meliputi usaha mempergiat agenda penghijauan dan pemeliharaan alam semula jadi, meningkatkan kualiti kebersihan dan kemudahan awam serta memperkukuh kerjasama strategik bersama masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Program My Clean City sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada 21 November lalu.
Pada majlis sama, Sabin turut melancarkan buku Piawaian Premis Bersih sebagai inisiatif mempertingkatkan tahap kebersihan premis serta menggalakkan amalan kebersihan yang lebih konsisten dan sistematik.
Program berkenaan turut mendapat penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk komuniti setempat, warga sekolah, pengusaha premis dan rakan industri.
Penganjuran program itu diharap dapat meningkatkan kesedaran awam serta memperkukuh penglibatan masyarakat dalam memastikan kebersihan bandar raya dan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

