KOTA KINABALU: Laluan baharu pendakian Gunung Kinabalu menerusi Kampung Kiau, Kadamaian bakal dilancarkan pada 16 Januari 2027, sekali gus menjadi tarikan pelancongan baharu sempena Tahun Melawat Sabah 2027.
Fasa pertama pembangunan itu melibatkan laluan pendakian eksklusif sejauh tujuh kilometer dari Kampung Kiau Nuluh pada ketinggian 977 meter hingga ke Marai-Parai pada ketinggian 1,652 meter dari aras laut.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick berkata, pembangunan pelancongan Gunung Kinabalu dari sebelah Kadamaian merupakan antara fokus utama Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang diyakini mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
“Saya yakin pembangunan Gunung Kinabalu sebelah Kadamaian merupakan ‘game changer’ kepada aktiviti ekonomi rakyat Sabah di Kadamaian,” katanya selepas mengadakan kunjungan kerja ke Ibu Pejabat Taman-Taman Sabah (TTS) di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut menghargai inisiatif TTS dalam membangunkan potensi pelancongan di kawasan berkenaan, termasuk Puncak Sayap, Minitinduk Gorge, Gunung Nungkok dan Melangkap.
Katanya, pembangunan sektor pelancongan itu turut disokong menerusi pelaksanaan projek infrastruktur, termasuk Projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Kadamaian.
“Saya akan memainkan peranan sebagai ADUN Kadamaian untuk melengkapkan usaha-usaha TTS ini khususnya berkaitan dengan keperluan peruntukan pembangunan,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan taklimat disampaikan Pengarah TTS, Datuk Dr Maklarin Lakim, sebanyak 25 lokasi tarikan utama dikenal pasti sepanjang laluan Kiau–Marai-Parai menerusi ekspedisi saintifik yang dilaksanakan pada Oktober 2024.
Antaranya ialah Minitinduk Gorge yang merupakan pintu masuk lama ke Gunung Kinabalu menerusi jejak pendakian Sir Hugh Low pada 1851.
Laluan berkenaan turut menawarkan keunikan landskap dataran tinggi dan kepelbagaian flora endemik, termasuk spesies tumbuhan periuk kera seperti Nepenthes rajah, Nepenthes lowii dan Nepenthes edwardsiana.
Berdasarkan pelan keseluruhan pembangunan, laluan dari Kampung Kiau Nuluh melalui Marai-Parai dan West Gurkha Hut hingga ke puncak tertinggi Gunung Kinabalu, Low’s Peak, melibatkan jarak 15.28 kilometer, manakala keseluruhan perjalanan hingga ke Pintu Timpohon adalah kira-kira 24 kilometer.
Pembangunan itu turut berpotensi menjadikan Kadamaian sebagai hab ekopelancongan luar bandar berasaskan komuniti, khususnya di Kiau, Melangkap, Sayap dan Tambatuon.
Daripada keseluruhan 75,370 hektar keluasan Taman Kinabalu, sebanyak 34.1 peratus terletak dalam daerah Kota Belud, manakala 42.1 peratus di Ranau dan 23.8 peratus di Kota Marudu.

