Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sasterawan Negara A Samad Said meninggal dunia pada usia 91 tahun

Sasterawan Negara, A Samad Said atau lebih mesra disapa Pak Samad, menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun, petang tadi.

Allahyarham yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilaporkan meninggal dunia pada jam 6.10 petang.

Berita pemergiannya dikongsikan oleh anak sulungnya, Helmy Samad, menerusi satu hantaran di media sosial, sebentar tadi.

“6.10 (petang).

“Innalillahi wainnailaihi rojiun.

“Bapa baru meninggal,” katanya ringkas.

A Samad atau nama penuhnya Abdul Samad Mohamed Said, dilahirkan di Melaka dan merupakan Sasterawan Negara keempat yang menerima pengiktirafan berkenaan pada 1985.

Sepanjang perjalanan kariernya dalam dunia penulisan, Allahyarham menghasilkan pelbagai karya berpengaruh yang memberi impak besar terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu moden.

Antara karya agungnya termasuk novel Salina (1961), Sungai Mengalir Lesu (1967), Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985), Hujan Pagi (1987) serta kumpulan puisi Liar di Api.

Sebelum menumpukan sepenuh masa dalam bidang penulisan kreatif, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan dan pengarang di beberapa syarikat akhbar utama, termasuk Utusan Melayu, Berita Harian dan The New Straits Times.

Selain dunia kesusasteraan, Pak Samad turut dikenali menerusi penglibatan aktifnya dalam gerakan masyarakat sivil dan pernah menjawat jawatan Pengerusi Bersama Gabungan Bersih 2.0.

Exit mobile version