Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pemuda Warisan tuntut kerajaan wartakan Kg Pondo sebagai perkampungan sah

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Warisan (Warisan) mendesak kerajaan negeri supaya mewartakan Kampung Pondo, Pulau Gaya sebagai perkampungan yang sah serta memberikan pengiktirafan rasmi terhadap status kampung dan penduduknya.

Ketua Pemuda Warisan, Khairuddin Daud berkata, perkara itu merupakan antara tuntutan yang terkandung dalam memorandum dikemukakan menerusi demonstrasi di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), pagi tadi.

“Memorandum ini secara jelas menyeru dan juga meminta kepada pihak kerajaan, khususnya kepada Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, supaya menggazetkan ataupun mewartakan Kampung Pondo sebagai perkampungan yang sah,” katanya menerusi siaran langsung Facebook.

Khairuddin turut meminta kerajaan negeri menyediakan penempatan yang lebih selesa kepada penduduk Kampung Pondo sekiranya mereka perlu dipindahkan.

Beliau mengambil contoh pendekatan kerajaan Sarawak yang menurutnya menyediakan rumah panjang baharu kepada penduduk yang terlibat dalam pemindahan bagi memberi laluan kepada pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

“Jadi kita juga minta kepada kerajaan, kalau perlu untuk penduduk Kampung Pondo ini dipindahkan, mereka harus diberikan penempatan yang lebih selesa.

“Mengapa kalau di negeri jiran kita, Sarawak boleh buat perkara yang sama, kenapa kita di negeri Sabah tidak boleh?” katanya.

Exit mobile version