TAWAU: Lima lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan selepas polis menemukan sebilah parang panjang dan sebatang besi dalam sebuah kereta yang mencurigakan di kawasan bandar Tawau, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, kenderaan terbabit dikesan kira-kira jam 2.20 pagi oleh anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebilah parang panjang termasuk hulu dan bersarung serta sebatang besi paip bulat yang disimpan di bawah tempat duduk pemandu,” katanya.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati seorang daripada mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurut Rosdi, kesemua suspek yang bekerja sebagai nelayan itu terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan lima warga asing berusia antara 19 hingga 37 tahun.
Kesemua suspek bersama kenderaan dan barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Rosdi menegaskan polis akan terus mempergiatkan rondaan dan pemeriksaan bagi membendung sebarang kegiatan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.

