KOTA KINABALU: Pemilikan kad pengenalan tidak memberikan seseorang hak untuk menduduki atau membangunkan tanah kerajaan tanpa kebenaran, tegas Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim.
Beliau berkata, isu penempatan setinggan di Kampung Pondo, Pulau Gaya serta kawasan lain di Sabah tidak seharusnya dilihat semata-mata daripada sudut status dokumen pengenalan diri, sebaliknya perlu berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Memiliki kad pengenalan tidak dengan sendirinya memberikan hak untuk menduduki atau membangunkan tanah kerajaan tanpa kebenaran. Prinsip kedaulatan undang-undang, hak milik tanah dan penguatkuasaan peraturan perlu dihormati serta dilaksanakan secara adil,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Azrul berkata, kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor menunjukkan iltizam politik untuk menangani isu setinggan yang berlarutan sejak puluhan tahun secara lebih serius dan tegas, meskipun berdepan tekanan, kritikan dan tentangan.
Menurutnya, penempatan setinggan yang tidak terkawal turut menimbulkan pelbagai masalah melibatkan sanitasi, pengurusan sampah, risiko kebakaran, keselamatan serta menjejaskan perancangan pembangunan negeri.
Beliau turut mengingatkan pihak luar supaya memahami fakta, sejarah dan realiti di lapangan sebelum mempertikaikan tindakan kerajaan negeri.
“Pihak luar juga perlu tahu batas dalam menyuarakan pandangan terhadap isu yang melibatkan pengurusan dan kepentingan negeri Sabah,” katanya.
Bagaimanapun, Azrul menegaskan tindakan penguatkuasaan perlu berjalan seiring dengan pendekatan kemanusiaan serta pematuhan terhadap prosedur yang ditetapkan.
“Ketegasan dalam penguatkuasaan bukan bermakna mengabaikan kemanusiaan. Begitu juga pendekatan kemanusiaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan undang-undang,” katanya.

