KOTA KINABALU: Pengurusan lapangan terbang di seluruh negara digesa mempertingkatkan aspek keselamatan dan penyelenggaraan kemudahan awam tanpa menunggu berlakunya kemalangan lebih serius sehingga meragut nyawa.
Presiden Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Yazid Mohd. Hasnan Tawik @ Charles berkata, insiden Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, mengalami kecederaan di kepala selepas tergelincir di tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu dijadikan peringatan kepada semua pihak berkaitan.
“Kita tidak mahu menunggu sehingga berlaku kecederaan yang lebih serius atau kehilangan nyawa sebelum langkah penambahbaikan diambil. Keselamatan pengguna mesti menjadi keutamaan dan sebahagian daripada standard pengurusan setiap lapangan terbang,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau menggesa Malaysia Airports dan pengurusan lapangan terbang melaksanakan pemeriksaan berkala terhadap lantai tandas serta laluan pejalan kaki, selain menggunakan bahan antigelincir dan memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik.
Katanya, papan tanda amaran juga perlu diletakkan dengan jelas ketika lantai basah atau sedang dibersihkan, manakala pemantauan dan penyelenggaraan perlu dilaksanakan secara konsisten.
Yazid turut menegaskan aspek keselamatan tidak seharusnya dibezakan antara tandas VIP dengan tandas awam kerana semua pengguna berhak menikmati kemudahan yang selamat tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Beliau turut mencadangkan agar laluan kecemasan mudah diakses, bantuan perubatan dipercepatkan serta kakitangan lapangan terbang diberikan latihan asas pengendalian kecemasan.
Dalam pada itu, Yazid berharap insiden berkenaan menjadi iktibar kepada semua pihak untuk mempertingkatkan langkah pencegahan risiko keselamatan, selain mendoakan Jamawi segera sembuh.

