PUTRAJAYA, 23 November: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mewajibkan orang awam mengemas kini maklumat profil masing-masing, khususnya alamat tempat tinggal, alamat e-mel dan nombor telefon terkini bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan digital jabatan itu.
JPJ dalam kenyataan media hari ini menyeru orang ramai supaya segera melakukan pengemaskinian berkenaan sebagai persediaan kepada pengenalan serta peluasan ciri dan fungsi baharu perkhidmatan digitalnya.
“JPJ menyeru orang awam supaya segera mengemas kini maklumat profil masing-masing, khususnya alamat tempat tinggal, alamat e-mel dan nombor telefon yang terkini, selaras dengan ketetapan Jabatan yang mewajibkan pengemaskinian maklumat berkenaan bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan digital JPJ,” menurut kenyataan itu.
Menurut JPJ, maklumat profil yang sah, tepat dan terkini amat penting bagi memastikan setiap inisiatif pendigitalan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Langkah itu juga membolehkan orang awam mengakses pelbagai perkhidmatan JPJ dengan lebih mudah, pantas dan selamat.
Orang ramai boleh mengemas kini maklumat profil melalui aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ atau hadir ke mana-mana kaunter JPJ berhampiran.
JPJ turut menyediakan panduan pengemaskinian melalui laman Facebook rasminya bagi memudahkan pengguna melaksanakan proses berkenaan.
“JPJ komited memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital yang lebih cekap, selamat dan mesra pengguna, sekali gus memastikan transformasi digital Jabatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi manfaat rakyat,” menurut kenyataan itu.

