Site icon TUHAU BAMBANGAN

SPRM mahu tutup ruang rasuah dalam kontrak sarang burung Gomantong

KOTA KINABALU, 23 November: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mengemukakan tiga cadangan penambahbaikan tatakelola bagi menutup ruang berlakunya rasuah dan salah guna kuasa dalam pengurusan kontrak memajak serta mengutip sarang burung di Gua Gomantong.

Cadangan itu dikemukakan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) susulan hasil penyiasatan SPRM terhadap pengurusan kontrak berkenaan, khususnya bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk TPj Fuad Bee Haji Basrah membentangkan cadangan tersebut menerusi Sesi Pembentangan Penambahbaikan Tatakelola bersama pihak JHL Sabah.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk pewujudan garis panduan penilaian dan analisis harga kontrak bagi memastikan proses perolehan dilaksanakan secara lebih teratur dan telus.

Langkah penambahbaikan itu bertujuan memperkukuh sistem serta prosedur pengurusan kontrak, sekali gus menutup ruang berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu, Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar menyambut baik cadangan SPRM sebagai usaha meningkatkan kecekapan dan integriti pengurusan jabatan.

Kerjasama kedua-dua agensi diharap dapat memperkukuh tatakelola kontrak berkenaan serta memastikan penyampaian perkhidmatan awam dilaksanakan secara berintegriti dan bertanggungjawab.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sabah, PKPj Alexander S. Kunghi; Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola, PPj Hamsia Abdul Ham serta pegawai kanan JHL Sabah.

Exit mobile version