KOTA KINABALU, 23 November: Koperasi di Sabah diingatkan supaya keluar daripada zon selesa dan lebih agresif menembusi pasaran luar negeri bagi memastikan kelangsungan perniagaan serta kekal berdaya saing dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata, koperasi tidak boleh terus bergantung kepada aktiviti perniagaan sedia ada, sebaliknya perlu lebih kreatif meneroka peluang baharu serta memperluas jaringan kerjasama strategik.
“Jangan hanya mereka berada di Sabah saja. Kalau boleh tembusi pasaran di luar Sabah.
“Sama-sama kita manfaatkan kelebihan yang ada pada Sabah. Dari segi pelancongan, perladangan, pertanian, perikanan, macam-macam. Peruncitan dan juga aktiviti yang dibuat oleh Koperasi Pelayaran Sabah ni juga besar potensi dia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program CEO Talk IKMa Zon Sabah 2026 bertemakan Berani Berubah, Berani Maju: Resepi Kepimpinan Transformasi Koperasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Isnin.
Mohamad turut menegaskan bahawa budaya bergerak secara bersendirian atau silo perlu ditinggalkan bagi membolehkan koperasi memperoleh lebih banyak peluang perniagaan.
“Itu sebabnya kita menggalakkan koperasi jangan mereka bergerak secara silo. Tak boleh dah sekarang bergerak secara silo.
“Mereka kena bijak mencari rakan-rakan strategik mereka untuk mendapat lebih banyak peluang-peluang baharu ini,” katanya.
Menurutnya, kerjasama yang dilaksanakan Koperasi Pelayaran Sabah bersama koperasi lain termasuk dari Semenanjung Malaysia merupakan contoh pendekatan strategik dalam memperluas jaringan perniagaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, KUSKOP akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Sabah melalui kementerian negeri berkaitan bagi meningkatkan akses koperasi kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti dan pasaran baharu.
“Kita juga mensasarkan lebih banyak program pada tahun-tahun hadapan untuk kita memberikan mereka akses yang lebih besar. Pertamanya dari segi dana pembiayaan, program kapasiti dan juga bagaimana nak membantu mereka untuk akses pasaran-pasaran baharu,” katanya.
Beliau turut menggalakkan koperasi memanfaatkan portal Hebatkan Perniagaan Malaysia bagi mendapatkan maklumat mengenai program pembangunan, kemudahan pembiayaan dan peluang perniagaan yang disediakan KUSKOP serta agensi berkaitan.

