KOTA KINABALU, 23 November: Sukan Persahabatan BIMP-EAGA 2026 bukan sekadar medan memburu pingat, sebaliknya menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan dan memperkukuh persahabatan antara masyarakat di rantau ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, temasya sukan itu turut memainkan peranan dalam memupuk semangat kekitaan, muhibah dan saling menghormati dalam kalangan negara peserta.
“Persaingan memberikan kemeriahan kepada temasya ini, namun semangat muhibah, setiakawan dan saling menghormati menjadikannya lebih bermakna dan berkekalan.
“Di gelanggang pertandingan, para atlet saling mencabar untuk mempamerkan prestasi terbaik. Di luar pertandingan pula, mereka berkongsi cerita, mencari persamaan dan menjalin persahabatan merentasi sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam pada majlis perasmian Sukan Persahabatan BIMP-EAGA 2026 ke-12 di Magellan Sutera, di sini, malam Isnin.
Hajiji berkata, kerjasama Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) juga tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut ekonomi, sebaliknya sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat serantau.
Beliau turut mengingatkan para atlet supaya mengekalkan semangat kesukanan dan saling menghormati walaupun bersaing untuk mencapai kejayaan.
“Ketika berusaha mencapai kecemerlangan, ingatlah bahawa pesaing anda juga merupakan jiran dan sahabat anda.
“Sebahagian daripada anda akan pulang dengan membawa pingat, namun kita berharap setiap peserta akan pulang dengan kenangan indah dan persahabatan yang berkekalan,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji turut menzahirkan rasa kesal terhadap ketidakhadiran kontinjen Indonesia pada temasya kali ini, namun menegaskan negara berkenaan kekal sebagai sebahagian penting daripada keluarga besar BIMP-EAGA.
Beliau berharap Indonesia dapat kembali menyertai temasya berkenaan pada penganjuran akan datang.

