KOTA KINABALU, 23 Nov – Kerajaan Sabah sedang meneliti cadangan penggunaan tenaga solar dan bateri sebagai sistem sokongan bekalan elektrik di hospital utama bagi memastikan perkhidmatan perubatan kritikal tidak terjejas ketika gangguan bekalan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, cadangan itu berpotensi dilaksanakan menerusi kerjasama awam-swasta (PPP).
“Kita sedang meneliti ruang kerjasama dengan pihak swasta untuk memperkenalkan sistem sokongan kuasa menggunakan tenaga solar atau bateri di hospital-hospital utama.
“Bagaimanapun, cadangan ini masih di peringkat penelitian. Aspek kebolehlaksanaan teknikal dan kewangan serta keperluan setiap hospital perlu dinilai terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sistem berkenaan bukan untuk menggantikan generator atau sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) sedia ada, sebaliknya sebagai sokongan tambahan bagi menjamin kelangsungan operasi hospital.
Beliau berkata, bekalan elektrik stabil amat penting terutama ketika pembedahan serta bagi memastikan peralatan sokongan hayat terus berfungsi.
Cadangan itu turut menyusul selepas isu gangguan elektrik di sebuah hospital di Sabah dibangkitkan di Parlimen baru-baru ini, termasuk dakwaan seorang doktor terpaksa menggunakan lampu telefon bimbit ketika menjahit luka pesakit.

