Site icon TUHAU BAMBANGAN

Menteri Sabah Jamawi Cedera Kepala, Tergelincir di Tandas KLIA

KOTA KINABALU, 23 November – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar cedera di kepala sehingga memerlukan jahitan selepas tergelincir di dalam tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika beliau menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di ruang menunggu VIP KLIA.

“Permukaan tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhentak ke lantai.. Terima kasih doktor dan jururawat yang bertugas di Menara Medical Clinics KLIA yang merawat dan menjahit luka tadi,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Susulan kejadian itu, Jamawi menasihatkan pihak Malaysia Airports supaya menambah baik permukaan tandas, menyediakan laluan kecemasan ke klinik berhampiran serta memberi latihan rawatan kecemasan kepada kakitangan.

Beliau turut memaklumkan akan meneruskan penerbangan ke Kota Kinabalu pada jam 1.05 petang selepas menempuh perjalanan jauh dari Brasilia, Sao Paulo dan Doha.

Jamawi juga berterima kasih kepada Tan Sri Anuar Musa, Datuk Yusuf Apdal serta rakan-rakan lain yang bertanyakan khabar selepas melihat keadaannya di KLIA.

Exit mobile version