KOTA KINABALU, 23 November – Kerjasama politik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan diteruskan bagi memastikan kestabilan politik negeri, namun GRS kekal sebagai peneraju kerajaan Sabah.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama antara tiga gabungan itu penting bagi memastikan kelangsungan pentadbiran serta pelaksanaan agenda pembangunan negeri demi kepentingan rakyat.
“Jajaran politik dalam kerajaan sekarang ini, itulah kita teruskan. Nanti kita akan bawa berbincang untuk mencari persetujuan bersama. Tapi bagi saya, kerajaan yang kita pimpin ini ialah kerajaan yang diketuai oleh GRS,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri Sabah bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam Ahad.
Hajiji berkata, perbincangan mengenai kerjasama politik antara GRS, BN dan PH bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang masih belum dimulakan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerjasama sedia ada dalam kerajaan negeri akan diteruskan, manakala pandangan daripada BN dan PH akan dibincangkan bagi mencapai persetujuan bersama.
Terdahulu, ketika menyampaikan amanat pada majlis berkenaan, Hajiji turut menyatakan hasrat untuk meneruskan kerjasama tiga gabungan itu dalam pilihan raya akan datang.
“Kita mahu stabil. Kalau kita mahu stabil, kita kena bekerjasama dengan apa yang ada dalam kerajaan sekarang. Kerjasama kita dengan PH dan BN ini akan kita teruskan dalam Pilihan Raya Umum dan juga Pilihan Raya Negeri yang akan datang,” katanya.
Menurutnya, kestabilan kerajaan amat penting bagi memastikan segala perancangan dan dasar pembangunan Sabah dapat dilaksanakan dengan teratur serta berkesan.
Beliau berkata, GRS ditubuhkan bagi memenuhi aspirasi rakyat Sabah yang mahukan sebuah kerajaan kukuh dan mengutamakan kepentingan negeri.
Sehubungan itu, Hajiji berharap semua pihak dalam kerajaan terus memberikan komitmen terhadap kerjasama yang telah dibentuk, selain memastikan perjuangan politik berlandaskan kejujuran dan kepentingan rakyat, bukannya sekadar retorik tanpa tindakan.

