KOTA KINABALU: Tempoh pendudukan selama berpuluh-puluh tahun di Kampung Pondo, Pulau Gaya, tidak mengubah status kawasan berkenaan sebagai penempatan setinggan yang tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan dan perobohan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penduduk perlu memahami bahawa kerajaan negeri sudah lama mengeluarkan nasihat supaya mereka tidak mendirikan rumah di kawasan berkenaan.
“Kalau kerajaan sudah bersedia untuk merobohkan, kita kena faham. 40 tahun, bertahun-tahun di sana, jadi jangan dijadikan itu isu seolah-olah kerajaan tidak prihatin.
“Kerajaan prihatin. Kita cari jalan untuk mengatur ataupun memastikan bahawa kehidupan mereka juga tidak terjejas. Tapi kita mesti tahu bahawa kawasan itu dilarang untuk mendirikan rumah. Ia kawasan setinggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sabah anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada malam Ahad.
Hajiji berkata, Kampung Pondo merupakan kawasan penempatan setinggan yang sudah terlalu padat dengan rumah, selain terletak di kawasan pulau yang menjadi kawasan peranginan dan tidak dibenarkan untuk pembinaan kediaman.
Menurutnya, kerajaan negeri sudah menetapkan supaya penempatan setinggan dipindahkan atau dirobohkan, selaras dengan perancangan yang dilaksanakan sejak sekian lama.
“Sudah padat, terlampau banyak rumah di kawasan itu. Ini kawasan peranginan, dekat pulau, jadi rakyat kita mesti tahu. Bukan kita kerajaan yang tidak prihatin. Kita prihatin kepada rakyat kita, tetapi kita kena ikut proses undang-undang dan peraturan,” katanya.
Bagaimanapun, Hajiji berkata, kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan penangguhan tindakan perobohan struktur kediaman tanpa kebenaran di Kampung Pondo, khususnya bagi mengambil kira kebajikan pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ini boleh kita pertimbangkan, tetapi untuk makluman, kampung itu kita anggap kampung setinggan. Bukan baru kerajaan mengeluarkan nasihat supaya mereka tidak mendirikan rumah di sana,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tetap prihatin terhadap kesulitan dihadapi penduduk dan berusaha mencari jalan bagi memastikan kehidupan mereka tidak terjejas.
Namun, katanya, tindakan penguatkuasaan terhadap penempatan setinggan perlu dilaksanakan mengikut proses undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

