KENINGAU: Empat individu termasuk seorang bekas pegawai adat dan penjawat awam direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM900,000 sebagai balasan membantu melancarkan urusan jual beli tanah di Sabah.
Dua lagi suspek adalah broker tanah, dengan kesemua mereka yang berusia lingkungan 30-an hingga 60-an direman sehingga 27 Ogos ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Flavian Edward Henry selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Keningau, pagi kelmarin.
Menurut sumber, kesemua suspek ditahan antara jam 4 petang hingga 8 malam semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Keningau.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2025.
“Suspek yang merupakan bekas pegawai adat dan penjawat awam dipercayai menerima rasuah daripada dua broker tanah sebagai balasan membantu melancarkan urusan jual beli tanah yang dikendalikan oleh kedua-dua broker berkenaan,” katanya.
Menurut sumber itu, siasatan awal turut mendapati tanah yang terbabit dalam urusan berkenaan merupakan milik individu lain dan tidak pernah ditawarkan untuk dijual.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan keempat-empat suspek.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

