KOTA KINABALU: Tiga ahli keluarga ditemukan rentung manakala seorang lagi mengalami kecederaan melecur selepas rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Darau, Menggatal, awal pagi tadi.
Tiga mangsa yang maut masing-masing wanita berusia 67 tahun, lelaki berusia 53 tahun dan wanita berusia 29 tahun, manakala seorang lelaki berusia 34 tahun mengalami kecederaan melecur.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.43 pagi sebelum anggota tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal berkeluasan 40 x 40 kaki persegi yang terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.10 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi menemukan tiga mangsa dalam keadaan rentung, manakala seorang lagi mengalami kecederaan melecur.
“Mangsa yang cedera dibawa menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Operasi berkenaan melibatkan 17 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah EMRS dan tiga Toyota Hilux.
Turut membantu operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Sabah Electricity.
Operasi ditamatkan pada jam 5.19 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

