Site icon TUHAU BAMBANGAN

Hajiji Hadir Kongres Nasional KEADILAN 2026, Perkukuh Kesepakatan Kerajaan Perpaduan

AYER KEROH: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, hadir pada perasmian Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Kehadiran Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah bersama rombongan kepimpinan GRS mencerminkan hubungan serta kerjasama politik yang terus terjalin antara gabungan parti dari Sabah itu dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, selain barisan kepimpinan tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS).

Majlis berkenaan turut menyaksikan Presiden KEADILAN menyampaikan ucapan dasar sempena kongres parti itu.

Antara pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang hadir ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, selain wakil kepimpinan DAP.

Bagaimanapun, tiada pemimpin utama Barisan Nasional (BN) atau UMNO dilihat hadir pada majlis perasmian berkenaan.

Ketidakhadiran kepimpinan BN dan UMNO menarik perhatian susulan kedudukan kedua-dua parti berkenaan sebagai sebahagian daripada gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada ketidakhadiran berkenaan berkaitan soal jemputan rasmi atau disebabkan komitmen lain kepimpinan parti terbabit pada hujung minggu ini.

Perkembangan itu turut menjadi perhatian dalam landskap politik semasa, khususnya ketika parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan terus mengatur strategi dan bentuk kerjasama masing-masing menjelang pilihan raya negeri akan datang.

Kehadiran Hajiji dan kepimpinan GRS pada kongres berkenaan pada masa sama memperlihatkan kesinambungan hubungan politik GRS dengan Kerajaan Perpaduan, selain usaha mengekalkan kerjasama antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

Exit mobile version