Site icon TUHAU BAMBANGAN

Seleweng dana pembinaan dewan RM2 juta, Presiden NGO ditahan SPRM Sabah

KOTA KINABALU: Seorang presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyeleweng dana kira-kira RM2 juta yang diperuntukkan bagi pembinaan sebuah dewan kebudayaan dan galeri di negeri ini.

SPRM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

“Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan kesalahan itu pada tahun 2022 melibatkan peruntukan yang diterima daripada Kementerian Kewangan untuk membina sebuah dewan kebudayaan dan galeri.

“Difahamkan, suspek mengemukakan permohonan peruntukan serta melaksanakan sendiri projek pembinaan dewan berkenaan tanpa mendapat persetujuan Ahli Majlis Tertinggi pertubuhan yang dipimpinnya,” jelas kenyataan itu.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana disyaki menyalahgunakan jawatan atau kedudukan bagi memperoleh suapan.

Menurutnya, suspek dijadualkan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini.

Exit mobile version