Site icon TUHAU BAMBANGAN

200 liter tidak praktikal, DUN Sabah wajar desak kouta BUDI Diesel 500 liter – Masiung

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah wajar menjadi platform mendesak Kerajaan Persekutuan mengkaji semula pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel dengan menaikkan kuota pembelian kepada 500 liter sebulan bagi setiap kenderaan persendirian di Sabah dan Sarawak kerana kuota sedia ada sebanyak 200 liter disifatkan tidak praktikal kata ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah.

Jelas Pengerusi Kelab Backbenchers Sabah itu, faktor geografi, keluasan kawasan dan jarak perjalanan yang jauh di Sabah dan Sarawak memerlukan kuota subsidi diesel yang lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, rakyat di kawasan pedalaman menggunakan diesel dalam jumlah yang lebih besar untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan, menjalankan urusan harian serta memasarkan hasil pertanian.

“Melalui Dewan Yang Mulia ini saya mencadangkan supaya Persekutuan menaikkan kuota subsidi BUDI Diesel sehingga 500 liter sebulan bagi Sabah dan Sarawak. Kuota 200 liter sebulan adalah tidak praktikal bagi lokasi perjalanan di bumi Borneo,” katanya ketika membahaskan usul dalam Persidangan DUN Sabah, pada Isnin.

Menurutnya, penduduk di kawasan Kuamut misalnya perlu memandu antara lima hingga enam jam untuk berurusan di Kota Kinabalu dengan penggunaan diesel melebihi 100 liter bagi perjalanan sehala, manakala perjalanan pergi dan balik boleh mencecah sekitar 200 liter dalam tempoh satu hingga dua hari.

“Harus diingat kawasan saya di Kuamut lebih besar berbanding negeri Kedah. Kalau di Semenanjung memandu 20 minit sudah melalui dua atau tiga negeri, tetapi di Sabah memandu selama tiga jam hanya melintasi satu atau dua daerah sahaja,” katanya.

Masiung turut menjelaskan masih ramai penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman belum menikmati kemudahan jalan raya serta bekalan elektrik, sekali gus bergantung kepada bot dan generator diesel bagi keperluan harian.

Beliau berkata, syarat kelayakan subsidi BUDI Diesel yang ketat juga menyebabkan sebahagian petani, nelayan dan pengusaha bas sekolah tidak layak menerima subsidi kerana kenderaan yang digunakan dibeli menerusi pinjaman permit atau kaedah sambung bayar serta tidak didaftarkan atas nama sendiri.

“Mereka inilah yang akhirnya terpaksa membeli diesel pada harga RM3.97 seliter kerana tidak layak menikmati subsidi BUDI Diesel. Dasar ini perlu dikaji semula mengikut realiti geografi dan keperluan rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula dasar subsidi bersasar itu supaya lebih inklusif serta mengambil kira cabaran sebenar yang dihadapi penduduk di Sabah dan Sarawak, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Exit mobile version