PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika berjalan di Jalan Bundusan menuju Taman Adamas, awal pagi tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas tercampak ke dalam longkang di bahu jalan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki tempatan berusia 52 tahun dari arah Jalan Bundusan menuju Taman Adamas dipercayai melanggar mangsa yang sedang berjalan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia sebelum mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sammy turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta sentiasa memandu dengan berhemah dan berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan yang boleh mengorbankan nyawa.

