Site icon TUHAU BAMBANGAN

Warga asing bina semula penempatan haram di belakang Likas Square selepas dirobohkan

KOTA KINABALU: Tindakan sekumpulan warga asing membina semula penempatan haram di kawasan setinggan belakang Likas Square selepas pernah dirobohkan sebelum ini telah menjejaskan keselamatan awam, fungsi rizab parit dan sungai serta kelestarian alam sekitar, kata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Dalam satu kenyataan hari ini, DBKK memaklumkan keadaan itu dikesan hasil pemantauan di kawasan berkenaan yang merupakan rizab parit dan sungai milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sekali gus mendorong pelaksanaan Operasi Bersepadu Perobohan Struktur Haram.

Menurut DBKK, operasi itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membanteras pencerobohan tanah kerajaan, memelihara rizab sungai dan sistem saliran, mengurangkan risiko banjir serta memastikan pembangunan bandar raya dilaksanakan secara terancang dan mematuhi undang-undang.

“Kawasan setinggan di belakang Likas Square merupakan kawasan yang pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan sebelum ini. Hasil pemantauan mendapati struktur haram telah didirikan semula oleh penghuni yang dikenal pasti sebagai bukan warganegara, sekali gus menjejaskan fungsi rizab parit dan sungai, keselamatan awam serta kelestarian alam sekitar,” menurut kenyataan DBKK di Facebook hari ini.

Bagi memastikan tindakan diambil mengikut lunas undang-undang, sebanyak 39 Notis Pengosongan, Perobohan dan Pengalihan diserahkan kepada penghuni pada 25 Jun lalu dengan tempoh pematuhan selama 14 hari sebelum operasi perobohan dijalankan pada 9 Julai.

Operasi yang diketuai JPS selaku pemilik kawasan rizab itu turut disertai 25 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Penguatkuasaan DBKK menerusi Bahagian Perobohan dan Struktur Haram, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity serta Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT).

Sepanjang operasi, sebanyak 39 rumah berjaya dirobohkan, dengan 38 daripadanya menggunakan jentera kontraktor yang dilantik JPS manakala sebuah lagi dirobohkan sendiri oleh pemilik.

Operasi yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu selesai dalam keadaan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

DBKK menegaskan pembinaan rumah atau sebarang struktur tanpa kelulusan di atas tanah kerajaan termasuk kawasan rizab sungai dan rizab parit merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang.

“Penguatkuasaan akan terus diperkasakan secara konsisten bagi memelihara kepentingan awam, melindungi aset kerajaan serta memastikan kesejahteraan bandar raya. Orang ramai juga diseru agar tidak menceroboh tanah kerajaan atau membina sebarang struktur tanpa kelulusan pihak berkuasa,” menurut DBKK.

DBKK turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan anggota yang terlibat atas kerjasama dalam menjayakan operasi bersepadu berkenaan.

Exit mobile version