PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) membatalkan sepenuhnya Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel ke Atas Kenderaan Pengangkutan Darat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa mulai hari ini (1 Julai 2026), selaras dengan pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pembatalan arahan bertarikh 27 Mac 2026 itu melibatkan had penjualan diesel sebanyak 50 liter, 100 liter dan 150 liter yang sebelum ini dikenakan ke atas kenderaan pengangkutan darat.
Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri pada 21 Jun lalu berhubung penyeragaman harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter di bawah Program BUDI Diesel serta pelaksanaan mekanisme baharu pembelian menggunakan MyKad di stesen minyak yang bermula 1 Julai 2026.
“Pembatalan arahan ini dibuat susulan pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad yang diyakini mampu memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan secara lebih bersasar, cekap dan berkesan, di samping memudahkan urusan pengguna yang layak,” katanya dalam satu kenyataan pada semalam.
Beliau berkata, susulan pembatalan itu, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol atau diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat tidak lagi berkuat kuasa mulai tarikh tersebut.
Azman turut menyeru semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya arahan serta mekanisme baharu yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
“KPDN menyeru semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya arahan dan mekanisme baharu yang telah ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

