Site icon TUHAU BAMBANGAN

Subsidi Diesel Guna MyKad Dijangka Kekang Ketirisan 1 Bilion Liter Setahun

KOTA KINABALU: Pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel menggunakan sistem pengesahan MyKad yang akan bermula pada 1 Julai ini dijangka mampu mengurangkan ketirisan diesel bersubsidi sehingga satu bilion liter setahun, sekali gus memastikan bantuan kerajaan dinikmati oleh rakyat yang benar-benar layak.

Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mekanisme baharu di bawah BUDI Diesel itu akan membolehkan hanya warganegara Malaysia menikmati diesel bersubsidi, manakala bukan warganegara perlu membeli bahan api tersebut pada harga pasaran.

Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan ketirisan subsidi yang berlaku sebelum ini, malah membantu menjamin kestabilan bekalan diesel dalam negara.

“Kerajaan menganggarkan pelaksanaan sistem ini mampu mengurangkan ketirisan sehingga satu bilion liter diesel setahun. Penjimatan yang diperoleh turut membolehkan harga diesel bersubsidi diturunkan kepada RM2.10 seliter berbanding RM2.15 sebelum ini di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel (Negeri Sabah) di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini.

Amir Hamzah menjelaskan, sama seperti pelaksanaan BUDI95, rakyat tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menikmati subsidi asas diesel kerana kelayakan akan disahkan secara automatik menggunakan MyKad di stesen minyak.

Katanya, pengguna yang memerlukan kuota tambahan sehingga 100 liter sebulan boleh membuat permohonan melalui portal yang disediakan atau mendapatkan bantuan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mengulas kebimbangan berkaitan pelaksanaan di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah, beliau berkata kerajaan yakin penggunaan MyKad tidak akan menimbulkan masalah berdasarkan kejayaan pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di negeri ini.

“Sabah mempunyai kira-kira 1,493 kedai SARA termasuk di kawasan pedalaman dan kadar penggunaan bantuan tersebut hampir mencecah 100 peratus, membuktikan penggunaan MyKad telah diterima secara meluas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut menyediakan bantuan khas melalui BUDI Agri-Komoditi bagi membantu pekebun dan petani kecil yang bergantung kepada diesel untuk aktiviti pertanian.

Menurutnya, golongan berkenaan akan menerima bantuan tunai RM200 sebulan serta tambahan RM200 ketika tempoh harga minyak tinggi, menjadikan jumlah bantuan sehingga RM400 sebulan.

Sementara itu, Menteri Kewangan Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kerajaan Persekutuan telah mengambil kira keperluan dan keadaan unik Sabah sebelum memperkenalkan mekanisme subsidi diesel bersasar tersebut.

Beliau yakin pelaksanaan skim itu mampu mencapai matlamat asalnya sekiranya penambahbaikan terus dilakukan berdasarkan maklum balas rakyat.

Masidi turut menggesa rakyat Sabah memainkan peranan membantu kerajaan membanteras ketirisan subsidi dengan melaporkan sebarang aktiviti penyelewengan atau penjualan diesel bersubsidi kepada pihak yang tidak layak.

Katanya, pengurangan ketirisan bukan sahaja memberi manfaat kepada kerajaan dari segi penjimatan fiskal, malah membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan subsidi bersasar.

Exit mobile version