Site icon TUHAU BAMBANGAN

DBKK Raih Anugerah Landskap Kebangsaan, Projek Kebun Bandar Kota Kinabalu Terbaik Inisiatif Hijau Malaysia

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus mengukuhkan reputasinya dalam pembangunan bandar mampan apabila Projek Kebun Bandar Kota Kinabalu berjaya merangkul Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA16) 2026 bagi Kategori Kerajaan (6A: Green Initiative Award).

Pengiktirafan berprestij itu diterima oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon pada Majlis Gala Malaysia Landscape Architecture Awards yang berlangsung di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur pada 20 Jun lalu.

Kejayaan tersebut membolehkan DBKK muncul sebagai pemenang selepas menewaskan lebih 30 agensi kerajaan dari seluruh negara, sekali gus menjadikan DBKK satu-satunya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah yang menerima pengiktirafan dalam MLAA16 2026.

Pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pendekatan DBKK dalam memperkasakan pembangunan bandar hijau melalui pelaksanaan program berteraskan kelestarian dan penglibatan aktif komuniti.

Anugerah berkenaan dinilai berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk inovasi, kelestarian, penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature-based Solutions), impak sosial, penglibatan komuniti serta sumbangan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030).

Program Kebun Bandar Kota Kinabalu merupakan antara inisiatif utama DBKK dalam memperkasa pertanian bandar berasaskan komuniti. Program tersebut bukan sahaja menyumbang kepada aspek keselamatan makanan bandar, malah berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemeliharaan alam sekitar, mengukuhkan jaringan sosial komuniti serta mempertingkatkan kesejahteraan penduduk setempat.

Melalui kerjasama erat antara DBKK, komuniti dan rakan strategik, program itu telah membuktikan bahawa pendekatan kolaboratif mampu menghasilkan impak positif yang mampan kepada masyarakat dan persekitaran bandar.

Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA) merupakan platform pengiktirafan tertinggi profesion seni bina landskap negara yang dianjurkan oleh Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM). Pada tahun ini, lebih 700 penggiat industri landskap dari dalam dan luar negara menghadiri majlis tersebut yang menyaksikan lebih 120 penyertaan dipertandingkan dalam 20 kategori anugerah.

DBKK turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik, komuniti Kebun Bandar Kota Kinabalu, warga kerja DBKK dan pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif berkenaan sehingga berjaya mengharumkan nama Kota Kinabalu di peringkat kebangsaan.

Kejayaan itu diharap menjadi pemangkin kepada usaha berterusan DBKK dalam merealisasikan aspirasi menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya yang bersih, hijau, mampan dan berdaya huni.

Exit mobile version