Site icon TUHAU BAMBANGAN

Hala Tuju SMJ Mula Menampakkan Hasil, Kadar Pengangguran Sabah Turun Kepada 5.5 Peratus

KOTA KINABALU: Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) terus menunjukkan hasil positif apabila kadar pengangguran di Sabah menurun kepada 5.5 peratus pada Suku Tahun Pertama 2026 berbanding 6.0 peratus pada suku sebelumnya, sekali gus mencerminkan pengukuhan pasaran buruh dan keberkesanan dasar pembangunan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Tahun Pertama 2026 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan penduduk bekerja di Sabah meningkat kepada 1.78 juta orang berbanding 1.76 juta orang pada Suku Tahun Keempat 2025, manakala jumlah tenaga buruh turut bertambah kepada 1.89 juta orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal tinggi pada 70.3 peratus.

Penurunan Pengangguran Secara Konsisten

Pencapaian itu menjadi lebih signifikan apabila Sabah terus merekodkan penurunan kadar pengangguran secara konsisten walaupun terdapat peningkatan kadar pengangguran pada beberapa tempoh di peringkat nasional serta di beberapa negeri lain.

Sejak merekodkan kadar pengangguran tertinggi sebanyak 8.2 peratus ketika pandemik COVID-19, Sabah berjaya menurunkannya kepada 5.5 peratus, bersamaan penurunan sebanyak 2.7 mata peratusan dalam tempoh beberapa tahun.

Keadaan itu membuktikan daya tahan ekonomi negeri serta keberkesanan pelaksanaan pelbagai dasar dan inisiatif kerajaan negeri dalam merangsang pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan berorientasikan penciptaan pekerjaan.

Lebih Banyak Peluang Pekerjaan Baharu

Prestasi pasaran buruh yang semakin kukuh turut disokong oleh sentimen perniagaan yang memberangsangkan, prospek ekonomi yang terus menggalakkan serta kapasiti industri yang mencecah 78.7 peratus pada Suku Tahun Pertama 2026.

Antara faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan positif itu ialah kejayaan kerajaan negeri menarik pelaburan domestik dan asing, memperkukuh sektor perkhidmatan awam negeri serta melaksanakan pelbagai inisiatif pekerjaan dan peningkatan pendapatan khusus kepada golongan miskin tegar dan miskin.

Usaha berterusan itu telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dalam pelbagai sektor ekonomi, sekali gus meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan dalam pasaran buruh.

Pengangguran Graduan Turut Menurun

Dalam perkembangan berkaitan, kadar pengangguran dalam kalangan siswazah Sabah turut menunjukkan trend positif apabila menurun daripada 9.4 peratus pada tahun 2020 kepada 7.1 peratus pada tahun 2024.

Penurunan tersebut mencerminkan kejayaan usaha kerajaan negeri dalam menyediakan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi kepada graduan dan golongan muda, termasuk peluang pekerjaan yang setanding dengan kelayakan akademik serta menawarkan pendapatan yang lebih baik.

Kejayaan itu dijangka terus diperkukuhkan menerusi pembangunan taman-taman perindustrian baharu di Sabah termasuk yang berteraskan ekonomi biru dan industri bernilai tinggi, yang bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor maritim, logistik, pemprosesan makanan, tenaga, teknologi dan perkhidmatan profesional.

Trend penurunan pengangguran yang konsisten ini membuktikan bahawa pertumbuhan ekonomi Sabah di bawah Hala Tuju SMJ bukan sekadar diterjemahkan melalui angka statistik, malah turut membawa manfaat langsung kepada rakyat melalui peningkatan peluang pekerjaan, pengurangan kadar pengangguran dan peningkatan taraf hidup, khususnya dalam kalangan anak muda dan graduan.

Exit mobile version