Site icon TUHAU BAMBANGAN

Isu Azizah Rohingya & Project IC cerminkan kelemahan sistem negara – MOPOT

KOTA KINABALU: Gerakan MOPOT (Moningolig Pogun Tokou) berpandangan bahawa isu melibatkan aktivis Rohingya, Noor Azizah, serta polemik berkaitan Project IC di Sabah perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, iaitu melibatkan persoalan keadilan, hak asasi manusia, kedaulatan rakyat dan kesan perubahan demografi terhadap masyarakat tempatan.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, MOPOT berkata perdebatan mengenai Noor Azizah tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu pelarian atau imigresen, sebaliknya mencerminkan percanggahan antara dasar kemanusiaan, kedaulatan negara dan hak golongan yang terpinggir.

Menurut MOPOT, Noor Azizah yang sering memperjuangkan isu pelarian Rohingya telah membangkitkan persoalan mengenai kedudukan pelarian di Malaysia termasuk akses kepada pendidikan, pekerjaan dan pengiktirafan undang-undang.

“Fenomena Noor Azizah menunjukkan bagaimana golongan pelarian masih berdepan pelbagai cabaran dalam sistem sedia ada walaupun isu Rohingya sering mendapat perhatian dalam wacana kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, MOPOT turut mengaitkan perbahasan tersebut dengan isu Project IC yang sekian lama menjadi kebimbangan masyarakat Sabah, khususnya berkaitan dakwaan pemberian dokumen pengenalan kepada warga asing yang didakwa memberi kesan kepada komposisi demografi dan landskap politik negeri.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua isu berkenaan memperlihatkan bagaimana status kewarganegaraan dan dokumen pengenalan boleh memberi kesan besar terhadap kehidupan individu serta masa depan sesebuah komuniti.

“MOPOT melihat isu pelarian dan Project IC sebagai dua sisi berbeza yang berkait dengan persoalan dokumen, pengiktirafan undang-undang serta kuasa politik.

“Dalam satu keadaan, terdapat individu yang berdepan kesukaran kerana ketiadaan pengiktirafan. Dalam keadaan lain pula, timbul dakwaan mengenai manipulasi dokumen yang memberi kesan kepada masyarakat tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, MOPOT menggesa agar siasatan dan perbincangan berkaitan Project IC diteruskan secara telus dan menyeluruh bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara dapat diperkukuhkan.

Gerakan itu turut mengulangi pendiriannya yang menyokong pelaksanaan cadangan seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu berkenaan, perlindungan terhadap hak-hak Anak Negeri Sabah serta usaha memperkukuh kedudukan Sabah dalam kerangka Persekutuan Malaysia.

“MOPOT menegaskan bahawa perjuangan mempertahankan hak Anak Negeri Sabah tidak seharusnya disalah tafsir sebagai penolakan terhadap golongan pelarian atau masyarakat rentan.

“Sebaliknya, keadilan perlu diberikan kepada semua pihak termasuk pelarian, golongan tanpa kerakyatan, pekerja, masyarakat pribumi dan rakyat Sabah yang menuntut hak mereka,” katanya.

Menurut MOPOT, penyelesaian terhadap isu-isu berkenaan memerlukan pendekatan yang berasaskan keadilan, ketelusan dan kemanusiaan, selain mengelakkan sentimen perkauman atau kebencian terhadap mana-mana kelompok masyarakat.

“Noor Azizah melihat sangkar, Atama Katama melihat senjata demografi, manakala MOPOT melihat keseluruhan sistem yang perlu diperbaiki demi memastikan keadilan kepada semua pihak,” menurut kenyataan itu.

Exit mobile version