Site icon TUHAU BAMBANGAN

DBKK roboh 38 rumah setinggan haram di Alamesra, 112 lagi menunggu tindakan

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menegaskan pendiriannya untuk tidak berkompromi terhadap pencerobohan tanah kerajaan apabila sebanyak 38 struktur setinggan haram berjaya dirobohkan setakat 19 Jun lalu menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu di kawasan belakang Alamesra, Likas.

Dalam operasi terbaru yang dilaksanakan pada 19 Jun, sebanyak 13 struktur setinggan dirobohkan, menjadikan jumlah keseluruhan rumah yang telah diambil tindakan sebanyak 38 unit, manakala 112 lagi struktur dikenal pasti untuk tindakan penguatkuasaan seterusnya.

Menurut DBKK, operasi yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membanteras pencerobohan tanah kerajaan, pembinaan struktur haram dan pertumbuhan penempatan setinggan yang tidak terkawal.

Kawasan setinggan di belakang Alamesra dikenal pasti sebagai antara lokasi pencerobohan yang berkembang di atas tanah rizab hutan bakau dan kawasan pesisir sungai sehingga menimbulkan pelbagai risiko keselamatan, kesihatan awam dan pencemaran alam sekitar.

Selain itu, kewujudan penempatan haram berkenaan turut mengancam ekosistem bakau yang menjadi antara aset semula jadi penting di Bandaraya Kota Kinabalu.

Hasil bancian Bahagian Perobohan dan Struktur Haram DBKK mendapati sebanyak 101 rumah telah dibina di kawasan penempatan mangsa kebakaran Kampung Cenderamata 2, Likas, manakala 150 struktur setinggan lagi dikenal pasti di kawasan bakau belakang Alamesra yang sebahagian besarnya didiami penghuni bukan warganegara.

DBKK memaklumkan bahawa notis pengosongan, pengalihan dan perobohan telah diserahkan kepada penghuni terbabit pada 13 April lalu dengan tempoh pematuhan selama 14 hari sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

Operasi tersebut dijalankan secara bersepadu melibatkan Bahagian Perobohan dan Struktur Haram Jabatan Penguatkuasaan DBKK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).

Menurut DBKK, tindakan penguatkuasaan itu bukan sekadar operasi perobohan, sebaliknya langkah strategik untuk mengembalikan fungsi asal tanah kerajaan, memelihara kawasan rizab alam sekitar, mengurangkan risiko kebakaran dan jenayah serta memastikan pembangunan bandar raya dilaksanakan secara teratur dan selamat.

“Tiada kompromi terhadap pencerobohan tanah kerajaan dan struktur haram.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Sabah bagi membanteras penempatan setinggan dan mengembalikan penguasaan tanah kerajaan kepada tujuan yang sah,” menurut kenyataan itu.

DBKK turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dan memaklumkan operasi berkenaan berjalan lancar, terkawal serta tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Exit mobile version