Site icon TUHAU BAMBANGAN

UPKO kembali ke rumah parti tempatan, Ewon tekad perkukuh GRS

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyifatkan penyertaan rasminya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu langkah mengembalikan parti itu ke “rumah sebenar” parti-parti tempatan Sabah, sekali gus memperkukuhkan perjuangan berasaskan aspirasi rakyat negeri ini dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, beliau bersyukur dan berbesar hati atas penerimaan rasmi UPKO sebagai parti komponen GRS, susulan permohonan yang dikemukakan pada 29 Mei lalu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta seluruh anggota Majlis Tertinggi GRS yang sebulat suara menerima keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan.

“Sebagai Presiden UPKO, saya bersukacita dapat membawa UPKO ke tempat yang sepatutnya, iaitu dalam gabungan parti-parti tempatan Sabah.

“Ini mengembalikan semangat asal penubuhan negara Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di mana parti-parti politik Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu mempunyai gabungan wilayah masing-masing dan bersama-sama menandatangani perjanjian pembentukan negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ewon, perjuangan parti-parti tempatan Sabah amat penting kerana hanya parti yang berakar umbi di negeri ini benar-benar memahami identiti, keperluan serta aspirasi rakyat Sabah dalam menentukan hala tuju pembangunan masa depan.

Beliau berkata, GRS kini merupakan satu-satunya gabungan parti tempatan Sabah yang mampu menjadi wadah penyatuan bagi memperjuangkan hak dan kepentingan negeri secara lebih berkesan.

“GRS adalah rumah sebenar parti politik dari Sabah. Oleh itu, UPKO akan menyumbang kepada pengukuhan dan pemerkasaan GRS bagi memimpin, mentadbir dan membangunkan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon menyeru seluruh rakyat Sabah supaya terus bersatu di bawah wadah parti-parti tempatan demi memperkukuhkan kestabilan politik serta memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan.

Katanya, perpaduan dalam kalangan rakyat dan parti-parti tempatan adalah asas penting bagi merealisasikan aspirasi Sabah First, Sabah Prosper dan Sabah United yang menjadi teras perjuangan GRS.

“Marilah seluruh rakyat Sabah berpadu dalam gabungan parti tempatan kita sendiri untuk membina masa depan negeri yang lebih maju, makmur dan bersatu,” katanya.

Beliau sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Hajiji dan seluruh kepimpinan GRS atas kepercayaan yang diberikan kepada UPKO untuk bersama-sama memperkukuhkan gabungan itu demi kepentingan rakyat dan masa depan Sabah.

Exit mobile version