KOTA KINABALU: Datuk Zainudin Aman dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah yang baharu berkuat kuasa 29 Jun ini, menggantikan Datuk Seri Sr Safar Untong yang akan menamatkan perkhidmatannya selepas hampir tujuh tahun menerajui perkhidmatan awam negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelantikan Zainudin yang kini merupakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta kecemerlangan pentadbiran negeri.
Menurut beliau, Zainudin akan mengambil alih jawatan berkenaan mulai 29 Jun 2026 selepas Safar menamatkan perkhidmatannya pada 28 Jun ini.
“Dengan pelantikan ini, Perkhidmatan Awam Negeri Sabah diharapkan akan terus maju dan berdaya saing dalam melaksanakan transformasi pentadbiran negeri ke arah kemajuan serta kecemerlangan yang berterusan.
“Pada masa sama, ia akan memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik demi kemakmuran rakyat dan pembangunan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Safar Untong atas khidmat bakti beliau yang cemerlang, penuh dedikasi, berhemah dan berintegriti sepanjang menyandang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri sejak tahun 2019.
Beliau berkata, sumbangan Safar telah memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan sistem pentadbiran negeri serta menyokong pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan kerajaan.
Hajiji turut memaklumkan bahawa Safar telah dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Jabatan Ketua Menteri, berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026.
Pelantikan tersebut dilihat sebagai pengiktirafan terhadap pengalaman dan kepimpinan beliau dalam sektor perkhidmatan awam serta pembangunan negeri.

