Site icon TUHAU BAMBANGAN

Hajiji perkukuh GRS dengan kemasukan UPKO, fokus menang besar di PRU

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus memperkukuhkan kedudukannya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang apabila secara rasmi menerima Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai ahli baharu gabungan itu, selain menubuhkan enam zon khas bagi memperkemaskan kesiapsiagaan jentera di seluruh Sabah.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan menerima UPKO sebagai parti komponen baharu dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dipengerusikannya hari ini.

Menurut beliau, kemasukan UPKO selaras dengan perjuangan GRS yang berteraskan prinsip Sabah First, Sabah Forward dan Sabah United, selain memperkukuhkan kedudukan parti-parti tempatan dalam menerajui pembangunan serta kestabilan politik negeri.

“Kita telah bersetuju sebulat suara untuk menerima UPKO sebagai ahli gabungan baharu GRS. Dengan penerimaan ini, ia sejajar dengan perjuangan GRS sendiri iaitu Sabah United, Sabah First dan untuk memberi kekuatan kepada parti-parti gabungan tempatan ini.

“Kita mahu mewujudkan kestabilan kerajaan di peringkat negeri yang sedia ada,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata, UPKO secara rasmi menjadi ahli GRS bermula hari ini dan perkara itu akan dimaklumkan kepada kepimpinan parti berkenaan.

“Mulai hari ini UPKO menjadi ahli GRS secara rasmi. Saya rasa semua setuju kerana kita mahu terus menguatkan GRS,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata mesyuarat turut memberi tumpuan kepada persiapan awal menghadapi PRU dengan memperkemaskan jentera parti di semua kawasan Parlimen di Sabah.

Bagi tujuan itu, GRS melantik enam pengerusi zon yang akan menjalankan naziran serta memantau laporan persiapan dan tahap kesiapsiagaan bahagian-bahagian parti mengikut kawasan masing-masing.

Zon 1 yang meliputi Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran dipengerusikan sendiri oleh Hajiji, manakala Zon 2 melibatkan Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan diketuai Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman mengetuai Zon 3 yang merangkumi Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang, manakala Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr. Joachim Gunsalam mempengerusikan Zon 4 melibatkan Ranau, Keningau, Pensiangan dan Tenom.

Bagi Zon 5 yang meliputi Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Beluran dan Kinabatangan, ia diketuai Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Chin Su Phin, manakala Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah mengetuai Zon 6 yang merangkumi Tawau, Kalabakan, Lahad Datu dan Semporna.

Hajiji berkata pelantikan enam pengerusi zon itu bertujuan memastikan setiap bahagian GRS berada pada tahap kesiapsiagaan terbaik walaupun tempoh Parlimen semasa hanya akan berakhir pada penghujung tahun depan.

“Kita di Sabah mesti bersedia. Apa yang dititikberatkan ialah kerjasama dan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen GRS serta rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan di Sabah.

“Ini amat penting kerana kita mahu menang besar dalam pilihan raya Parlimen akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai pengagihan kerusi Parlimen, beliau berkata GRS akan membuat pertimbangan berdasarkan calon yang mempunyai peluang terbaik untuk memenangi kerusi masing-masing demi memastikan gabungan itu terus kekal relevan dan berdaya saing pada PRU akan datang.

Exit mobile version